Pertubuhan Jemaah Dato’-Dato’ Negeri Kedah atau Council of Dato’-Dato’ Negeri Kedah telah diluluskan pendaftarannya oleh Pendaftar Pertubuhan Malaysia dibawah Seksyen 7 Akta Pertubuhan 1966 dengan nombor pendaftarannya 1469/96 (Kedah) pada 4 November 1996.
Usaha-usaha untuk menubuhkan Jemaah ini bermula melalui perbincangan dikalangan penerima-penerima anugerah yang bergelar ‘Dato’ yang dikurniakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah dengan diketuai oleh Almarhum Tun Dato’ Seri Utama Syed Ahmad Bin Syed Mahmud Shahabuddin Al-Haj. Diantara tokoh-tokoh lain yang menjadi pengasas kepada penubuhan Jemaah ini ialah Allahyarham Dato’ Paduka Haji Abdullah bin Ismail, Allahyarham Tan Sri Dato’ Paduka Azahari Bin Md. Taib, Allahyarham Dato’ Seri Haji Shaari Bin Mohd. Daud, Yang Berbahagia Dato’ Paduka Haji Mohd. Saad Bin Endut dan Yang Berbahagia Tan Sri Dato’ Paduka William Check Lin Kwai. Pada masa itu tidak ada satu badan pun yang boleh menghubungkan pihak Istana dengan penerima-penerima anugerah ‘Dato’ yang semakin ramai pada ketika itu. Badan ini penting diwujudkan supaya hubungan pihak istana dengan Dato’-Dato’ Negeri Kedah tidak terputus. Malahan adalah menjadi tanggungjawab semua penerima anugerah ‘Dato’ daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah untuk mempertahankan kemuliaan dan sentiasa menjaga nama baik darjah kebesaran yang dikurniakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah kepada mereka.
Selain dari itu adalah menjadi suatu tanggungjawab semua penerima darjah kebesaran ‘Dato’ untuk menumpahkan taat setia yang tidak berbelah bahagi pada setiap masa kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah sebagai Sultan dan Raja Pemerintah bagi Negeri ini dan sentiasa mempertahankan institusi Kesultanan di Negeri Kedah Darul Aman ini yang telah wujud sejak tahun 1136 lagi.
Selain daripada itu Jemaah ini akan menjadi medan bagi semua ahli untuk berhubungan antara satu sama lain, bertanya khabar dan bertemu didalam acara-acara yang dianjurkan oleh Jemaah seperti Majlis Jamuan Dato’-Dato’ Negeri Kedah, Mesyuarat Agung Dwi Tahunan Jemaah dan sebagainya. Bagi ahli-ahli yang meminati acara sukan khasnya permainan golf, mereka juga boleh bertemu mesra didalam pertandingan golf yang diadakan dari semasa ke semasa.
Tujuan dan Asas penubuhan Jemaah Dato’-Dato’ Negeri Kedah ada diperuntukkan di dalam Fasal 4 Undang-Undang Pertubuhan Jemaah Dato’-Dato’ Negeri Kedah atau Council of Dato’-Dato’ Negeri Kedah (JDNK).
Klik di sini untuk melihat sijil Perakuan Pendaftaran Pertubuhan
Fasal 3: Cogankata