JEMAAH DATO’-DATO’ NEGERI KEDAH DARUL AMAN
TITAH UCAPAN DULI YANG TERAMAT MULIA TUANKU PRESIDEN
Segala puji ke hadrat Allah Subhanahu Wataala, Tuhan sekelian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam, serta kepada para sahabat Baginda.
Saya mengambil peluang ini untuk melahirkan kesyukuran di atas penyediaan laman sesawang (web) Jemaah Dato’-Dato’ Negeri Kedah Darul Aman. Laman ini amat penting sebagai wadah berguna untuk ahli-ahli mendapatkan maklumat-maklumat terkini, bertukar-tukar pandangan serta melaksanakan aktiviti-aktiviti demi kepentingan ahli, masyarakat dan Negeri Kedah tercinta ini.
Marilah kita sama-sama merafak sembah kepada KeBawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan, Raja pemerintah yang telah perkenan menganugerahkan darjah-darjah kebesaran kepada kita semua. Anugerah ini diberikan oleh KDYMM Tuanku Sultan yang memerintah sejak zaman tertubuhnya Negeri Kedah Darul Aman. Saya percaya penganugerahan ini adalah berasaskan kepada sumbang bakti kita kepada KDYMM Tuanku Sultan dan Negeri Kedah. Yang pasti hanya orang-orang yang berbudaya tinggi, berbudi pekerti mulia, pemimpin kerajaan, pegawai-pegawai tinggi kerajaan, pemimpin masyarakat dan mereka-mereka yang menyumbang kepada pembangunan, pentadbiran serta sosio ekonomi negeri dan Negara sahaja yang terpilih untuk dianugerahkan dengan gelaran Dato’ ini.
Oleh itu adalah penting untuk penerima-penerima darjah kebesaran negeri ini menjaga taraf kemuliaan gelaran, serta terus memberi apa jua perkhidmatan, pengalaman, pengetahuan dan usaha, untuk kebaikan masyarakat serta Jemaah Dato’-Dato’ Negeri Kedah.
Saya juga gembira kerana persatuan ini dapat kembali aktif dalam melaksanakan pelbagai aktiviti pasca-pandemik Covid, terutamanya bagi memenuhi matlamat Jemaah, iaitu untuk mengeratkan silatulrahim ahli-ahli serta menjalankan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan.
Saya suka mengambil kesempatan ini menyeru penerima-penerima darjah kebesaran bergelar Dato’ yang belum menjadi ahli Jemaan Dato’-Dato’ Negeri Kedah, agar mendaftar dengan segera. Saya juga mengucapkan terima kasih kepada semua Ahli-ahli Jawatankuasa yang telah bertungkus lumus menjayakan aktiviti-aktiviti Jemaah ini. Saya menyeru kepada ahli-ahli untuk sentiasa memberi buah fikiran serta menjayakan kesemua aktiviti-aktiviti yang dijalankan. Sebarang cadangan boleh disalurkan melalui email kepada ahli ahli jawatankuasa.
Sekian. Terima kasih.
Duli Yang Teramat Mulia Tengku Sarafudin Badlishah
Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin
Presiden
Jemaah Dato’-Dato’ Negeri Kedah