Titah DYTM Tuanku Presiden

Mesyuarat Agung Dwi Tahunan 2021/2022 pada 27 November 2021

UCAPAN DULI YANG TERAMAT MULIA TENGKU SARAFUDIN BADLISHAH IBNI AL AMINUL KARIM SULTAN SALLEHUDDIN, RAJA MUDA KEDAH.

Assalammualaikum Warahmatullahhi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Dato’-Dato’ sekalian,

Alhamdulillah saya bersyukur kehadrat Allah Subhanahu Wataala kerana dengan limpah keizinanNya dapatlah kita semua hadir di Mesyuarat Agung Dwi Tahunan Jemaah Dato’-Dato’ Negeri Kedah pada pagi yang mulia ini. Terima kasih saya ucapkan kepada Dato’-Dato’ sekalian yang dapat hadir, juga kepada Dato’-Dato’ yang mengikuti Mesyuarat Agung ini di dalam talian melalui aplikasi ‘Zoom’.  

Sukacita saya maklumkan bahawa Ahli-Ahli Jemaah Dato’-Dato’ Negeri Kedah berjumlah 975 orang dan dari jumlah tersebut 114 orang telah meninggal dunia. Antara mereka yang telah pergi buat selama-lamanya ialah Setiausaha kita Allahyarham Dato’ Panglima Jaya Dato’ Wira Haji Ismail bin Hamid yang telah berkhidmat sebagai Setiausaha selama 13 tahun. Marilah kita menghadiahkan Ummul Kitab kepada yang beragama Islam dan bertafakur kepada yang bukan Islam, Al Fatihah.

Dato’-Dato’ sekalian,

Di sepanjang 2 tahun yang lalu, Jawatankuasa Jemaah tidak dapat menjalankan aktiviti-aktiviti disebabkan oleh penularan wabak Covid-19 yang melanda Negara pada awal 2019 sehingga kini. Walaubagaimanapun Jemaah perlu mematuhi peraturan-peraturan yang terkandung di dalam perlembagaannya.

Sejak 2 tahun kebelakangan ini, telah terjadi musibah yang menimpa rakyat terutamanya di negeri Kedah. Jemaah telah turut serta menyumbangkan wang ringgit khas untuk membantu barisan hadapan dengan memberi sumbangan kepada PDRM pada awal penularan wabak Covid-19, memberi sumbangan Ramadan kepada fakir miskin di Daerah Bandar Baharu semasa Hari Raya Aidil Fitri yang lalu dan juga membantu mangsa tragedi ‘kepala air’ yang berlaku di Daerah Yan baru-baru ini. Jumlah keseluruhan sumbangan yang telah diberikan ialah RM75,000.00.

Kita patut berterima kasih kepada pengasas Jemaah Dato’-Dato’ Negeri Kedah dan Ahli Jawatankuasa yang terdahulu yang telah berjaya menyimpan dana untuk kita gunakan untuk kepentingan ahli serta mereka yang memerlukan. Saya berharap ahli-ahli akan dapat menyumbang kepada dana Jemaah khasnya Dana Kebajikan yang telah berkurangan sekarang ini. Selepas ini Timbalan Presiden akan menulis surat kepada semua ahli untuk menyumbang kepada Dana ini.

Dato’-Dato’ sekalian,

Pada hari ini Mesyuarat Agung akan membuat pemilihan Ahli-Ahli Jawatankuasa yang baru bagi penggal 2021/2022. Saya mempunyai penuh harapan agar Ahli Jawatankuasa yang terpilih nanti terdiri daripada mereka yang komited dan berkemampuan untuk memberi perkhidmatan kepada Jemaah di dalam pentadbiran Jemaah dan merancang aktiviti yang akan dianjurkan apabila keadaan mengizinkan. Dengan kerjasama sepenuhnya daripada Ahli Jawatankuasa dan Ahli-Ahli Biasa sekalian, saya percaya Jemaah Dato’-Dato’ Negeri Kedah akan terus maju menjadi Persatuan yang terbaik, cekap, berkesan dan terus bergerak aktif di Negeri Kedah Darul Aman ini.

Dato’-Dato’ sekalian,

Baru-baru ini terdapat kejadian yang dilaporkan di media massa mengenai penggunaan darjah palsu oleh individu-individu yang tidak bertanggungjawab. Oleh yang demikian, saya menyeru kepada semua ahli sekiranya mempunyai maklumat mengenai penipuan atau penjualan darjah kebesaran Kedah dan aksesori yang palsu, sila laporkan kepada Jemaah atau pihak berkuasa supaya tindakan lanjut dapat diambil oleh pihak berwajib.

Saya juga mengambil kesempatan merakamkan penghargaan kepada Yang Berbahagia Dato’ Wira Mohd Omar bin Haji Mohamed yang telah bersetuju mengambil alih jawatan Setiausaha Jemaah sehingga Mesyuarat Agung ini dan juga penghargaan dan terima kasih kepada Yang Berbahagia Dato’ Wira Tan Son Lee Bendahari Jemaah di atas perkhidmatan beliau selama 9 tahun. Beliau telah meletak jawatan oleh sebab keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan dan digantikan dengan Yang Berbahagia Dato’ Cheng Lai Hock selaku Bendahari baru mulai 30 September 2021.

Baru-baru ini Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan telah memperkenankan limpah penganugerahan Darjah Kebesaran sempena Hari Keputeraan Baginda Yang Ke-79. Saya berharap semua Dato’-Dato’ baru yang menerima anugerah akan menjadi Ahli Jemaah Dato’-Dato’ Negeri Kedah. Saya juga menyeru kepada Dato’-Dato’ yang belum menjadi ahli supaya menjadi ahli Jemaah ini secepat mungkin. Oleh itu adalah diharapkan Dato’-Dato’ yang hadir di sini dapat menyampaikan maklumat ini kepada mereka yang belum menjadi ahli.

Mengenai laman web Jemaah, saya ingin memaklumkan bahawa alamat laman web Jemaah yang baru ialah ‘’jemaahdatokedah.my’’ dan saya berharap agar ahli-ahli melayarinya. Saya harap agar ahli-ahli boleh memberi maklumbalas mengenai laman web ini supaya ia boleh dikemaskan dengan lebih baik.

Saya juga mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada Ahli Jawatankuasa yang lalu, yang akan melepaskan jawatan mereka pada hari ini di atas perkhidmatan mereka kepada Jemaah Dato’-Dato’ Negeri Kedah. Semoga perjalanan Mesyuarat Agung hari ini akan berjalan dengan penuh teratur dan memenuhi kehendak Perlembagaan kita.

Akhir sekali, saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Lembaga Zakat Negeri Kedah kerana menyediakan tempat dan kemudahan peralatan IT untuk Jemaah Dato’-Dato’ Negeri Kedah menjalankan Mesyuarat Agung Dwi-Tahunan pada hari ini.

Sekianlah sahaja ucapan saya, dan saya ingin memulakan Mesyuarat Agung ini.

Wasalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan selamat bermesyuarat.